Written by zain y.s | |
Wednesday, 19 September 2007 | |
"Wahai sekelian ikhwan timur yang sedang lenyak di dalam tidurnya. Wahai sekelian saudara kami yang sedang lina bersedap-sedap di dalam keelokan mimpinya. Memadalah. Memadalah. Memadalah tidurmu itu kerana telah melampaui sangatlah sudah daripada sempadan mengambil kesenangan bilangan pingsan atau orang mati yang bernafas. Bangunlah segera. Sapulah mata daripada bekas tidur yang membunuh itu..." Syed Syeikh Al Hadi, Al Ikhwan Begitulah kata-kata yang diungkapkan oleh seorang tokoh yang banyak jasanya kepada negara kita ini. Syed Syeikh al Hadi satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Namun sejak akhir-akhir ini tokoh yang telah menjadi bapa kepada kewartawanan ini semakin dilupakan. Malah jasa beliau yang paling teserlah adalah mendirikan sebuah Madrasah yang sangat masyur dan diberi nama Madrasah Al Mashoor di Pulau Pinang.(kini dikenali sebagai SMKA Al Mashoor dan Mahaad Mashoor Islami) Sejarah perjuangan beliau yang tidak mengenal penat dan lelah tersebut seharusnya disanjug sebagai sebuah pengorbanan yang besar. Namun demikian, tidak semuanya dihargai. Kediaman beliau di Jelutong, Pulau Pinang masih lagi menjadi monumen bersejarah yang dilupakan sejarahnya!. Justeru tulisan ini diharap dapat mengcungkil kembali rasa tanggungjawab umat Islam di Malaysia yang seharusnya bertindak segera ke arah menobatkan sebuah rumah yang melahirkan pemikiran-pemikiran yang menyedarkan umat Islam sebagai salah satu warisan negara yang tidak ternilai harganya!. Namun sayang sekali kerana rumah tersebut kini menjadi sebuah rumah berhala. Rumah di mana beliau melahirkan pemikiran dan syor-syor yang meyedarkan masyarakat Melayu di seluruh nusantara telah tergadai begitu sahaja.
Pengenalan Ringkas Tentang Syed Syeikh Al Hadi Syed Syeikh Al Hadi merupakan anak kelahiran Kampung Hulu, Melaka. Beliau dilahirkan pada hari Selasa 24 Rejab 1281 H bersamaan 25 Disember 1864. Beliau pulang ke rahmatullah pada 17 Zulkaedah 1344 H Bersamaan 4 April 1931 di Mukim Jelutong, Pulau Pinang. Bapa Syed Syeikh Al hadi bernama Syed Ahmad bin Hassan Al Hadi adalah berbangsa Arab yang berasal dari Hadramaut yang dilahirkan di Melaka. Malah nenda Syed Syeikh al Hadi turut di lahirkan di Melaka iaitu Syed Hassan bin Saggaf al Hadi. Beliau yang mendapat pendidikan Bahasa Arab daripada bapanya dan seterusnya mendapat pendidikan agama di sebuah sekolah agama dan Sekolah Melayu Straits Settlements, Melaka. kemudian beliau mengikut keluarganya yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga Di Raja Riau, berpindah ke Pulau Penyengat. Di sana beliau dijadikan anak angkat oleh Raja Ali Kelana bin Raja Ahmad, adik tiri kepada Sultan Riau-Lingga yang juga Raja Muda. Kemudiannya beliau dihantar ke sebuah Pondok di Terengganu untuk mendalami ilmu agama. Namun begitu, beliau tidak lama di situ kerana beliau berpendapat bahawa sistem pengajian pondok hanya mengajar muridnya untuk menghafaz bukan berfikir. Setelah pulang ke Pulau Penyengat beliau terlibat dengan kesusasteraan di dalam Kelab Rasyidiyyah. Malah semasa tinggal di Pulau Penyengat, beliau berkesempatan ke Timur Tengah khususnya Arab Saudi dan Mesir kerana menemani anak-anak raja yang ingin melanjutkan pengajian atau menunaikan umrah dan haji. Di sinilah beliau terpengaruh dengan pemikiran Syed Muhamad Abduh yang membawa pemikiran Islah yang akhirnya pemikiran tersebut dikembangkan di Tanah Melayu. Sumbangan Syed Syeikh Al Hadi dalam Kewartawanan
Syed Syeikh Al Hadi telah melihat medan penulisan sebagai satu medan untuk menyedarkan umat Melayu ketika itu. Usahanya ini terbukti apabila majalah Al Imam dikeluarkan pada 22 Julai 1906 yang ditulis dengan tulisan jawi berukuran lebar 6.3 inci serta panjang 8.6 inci. Pada mulanya majalah ini dicetak oleh Matbaah Melayu Tanjung Pagar dan kemudiannya oleh Al Imam Printing Company Limited. Al Imam mengandungi 32 halaman yang dijual dengan harga 25 sen wang British. Al Imam telah diterbitkan bersama-sama beberapa orang temannya seperti Syeikh Tahir Jalaluddin Al Azhari, Syeikh Salim Al Kalali, dan Haji Abbas bin Mohd Taha. Namun begitu Al Imam terhenti disebabkan masalah kewangan tetapi majalah ini telah mendapat sambutan hangat di Tanah melayu dan Indonesia. Kemudiannya beliau menerbitkan akhbar Al Ikhwan pada 1926 dan akhir sekali akhbar Saudara pada 1928. Daripada akhbar-akhbar inilah Syed Syeikh Al Hadi telah menyebarkan fahaman dan idea-idea ke arah pembaikpulih umat Melayu dan seterusnya meningkatkan taraf orang Melayu yang krtikal ketika itu. Beliau telah berusaha dengan gigihnya untuk menyedarkan orang Melayu betapa pentingnya untuk bangun dan berusaha dan bukannya sekadar bermalas-malasan.
Syed Syeikh Al Hadi dan Islah
Syed Syeikh Al Hadi terpengaruh dengan pemikiran Kaum Muda hasil daripada pengajiannya dengan Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Jamal al Din Al Afghani di Mesir dan Arab Saudi. Pemikiran ini telah di ambil ketika beliau berulang alik dari Pulau Penyengat ke Timur tengah khususnya Mesir. Justeru, Syed Syeikh Al Hadi berusaha menghapuskan salah faham agama yang membelenggu umat Islam dengan memerangi amalan khurafat dan bida’ah. Beliau juga dengan bantuan beberapa teman-teman seperti Syeikh Abdullah al Maghribi dan Syeikh Tahir Jalaluddin menghapuskan ajaran Taslim dengan menjalankan penyelidikan selama 3 bulan. Berikutan itu satu perhimpunan diadakan di Masjid Jelutong dan beliau membuktikan ajaran tersebut adalah sesat dan kitab-kitab ajaran tersebut dibakar. Idea pemikiran islah atau aliran Kaum Muda ini telah banyak membantu ke arah “membasuh” minda masyarakat Melayu ke arah memahami Islam yang sebenarnya dan bukannya jumud dan beku seperti sesetengah golongan yang tidak mahu berubah.
Sumbangan Dalam Bidang Pendidikan
Sebagai seorang cendakia ulung, Syed Syeikh Al Hadi menyedari bahawa pendidikan adalah medan ke arah pembinaan jiwa yang murni. Beliau telah menubuhkan satu sistem persekolahan sendiri dengan menubuhkan Madrasah Iqbal Islamiyyah di Seligi Road, Singapura pada 1907. Namun setelah dua tahun ditubuhkan sekolah itu terpaksa ditutup disebabkan perselisihan faham antara ibu bapa dengan guru dan beberapa masalah lain. Namun hal tersebut tidak mematahkan semangat Syed Syeikh Al Hadi. Beliau kemudiannya menubuhkan sebuah sekolah yang diberi nama Madrasah al Hadi di Bandar Kaba, Melaka pada tahun 1915. Walaubagaimana pun sekolah ini juga tidak lama lalu berkubur. Atas kegagalan yang kedua beliau telah berhijrah ke Pulau Pinang dan akhirnya berjaya menubuhkan madrasah Al Mashoor Islamiyyah di Tek Soon Street, Pulau Pinang pada 1919. Berkat usaha dan bantuan daripada teman-temannya, akhirnya madrasah tersebut telah menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang penting ketika itu. Kemunculan Madrasah Al Mashoor ini tidak boleh dipandang enteng kerana inilah antara madrasah yang awal yang kekal hingga kini. Malah madarasah ini telah melahirkan beberapa pemimpin dan tokoh yang disegani seperti Dr Buharnuddin Al Helmy mantan Yang DiPertua Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Haji Abu Bakar Ashaari (Perlis). Pengaruh pendidikan ini telah melebar dengan luasnya di serata pelusuk negara hingga tertubuhnya Madrasah Idrisiah, Perak yang diplopori oleh Syeikh Abdullah Maghribi pada tahun 1934 dan beberapa buah lagi madrasah yang tumbuh berdasarkan kepada pemikiran Kamu Muda.
Seruan Untuk Umat
Melihat daripada sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara sememangnya tokoh ini kaya dengan jasa. Oleh itu penulis menyeru supaya kepada pihak-pihak terbabit agar dapat membantu usaha mendapatkan kembali rumah Syed Syeikh Al Hadi ini. Syed Syeikh Al Hadi telah meninggalkan khazanah ilmu yang banyak kepada kita semua. Beliau telah tiada yang ada hanyalah rumah sebagai tanda usahanya selama ini. Adalah tidak patut untuk kita membiarkan rumah beliau “terlepas” begitu sahaja. Penulis merayu supaya pihak tertentu supaya memastikan rumah beliau kembali sebagai sebuah warisan dan bukannya rumah berhala. Marilah kita sama-sama merenungi kata-kata Syed Syeikh Al Hadi dalam Akhbar Saudara untuk kita sama-sama muhasabah wajarkah kita membiarkan rumah tersebut terlepas begitu sahaja.
Wahai Saudara- Apa sukakah tuan-tuan menjadi ahli-ahli kubur sebelum mati? Ataupun menjadikan watan kita ini umpama padang-padang yang sunyi sama sekali isinya daripada ahli-ahli iman yang kasih akan watannya?. Saudara, 10 April 1932. |
Tuesday, September 20, 2011
Menyelusuri Tokoh Perubahan yg kian dilupai..
Tuesday, September 13, 2011
497691 Calon Menduduki Peperiksaan UPSR Hari Ini Di Seluruh Malaysia.
UPSR merupakan peperiksaan awam pertama yang akan diduduki oleh setiap individu yang bergelar pelajar di Malaysia ini.Pengalaman pertama menduduki peperiksaan yang besar seumpama ini akan ditimba oleh setiap mereka.Demikianlah sistem pembelajaran di Malaysia ini..Walaupun ada usaha pada suatu hari nanti sistem pendidikan di negara kita ini mungkin akan bertukar wajah dari "exam oriented" kepada penilaian berterusan yang pada hari ini telah pun dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Hari ini semua pelajar tahun enam diseluruh negara menduduki Peperiksaan UPSR, Dukacita bagi negeri Perlis diuji oleh Allah Azzawajalla dengan bencana banjir,pun demikian laporan terkini menyatakan semua calon di perlis berjaya menduduki peperiksaan tanpa masalah Alhamdulillah, Malah dilaporkan Sebahagian mangsa banjir bermalam sejak semalam lagi di pusat-pusat peperiksaan bagi memastikan kehadiran mereka...Mudah-mudahan kesungguhan,mujahadah mereka beroleh hasilnya...من جد وجد ومن زرع حصد barang siapa berusaha dia pasti akan beroleh apa yang diusahakan,dan brgsiapa yang bercucuk tanam dia pasti akan menuai hasilnya...
Kejayaan dan Hidayah adalah dengan kehendak dan usaha....
Orang ramai sedang mendapatkan air kolah surau di sebuah pondok pengajian yang telah "dijampi"
Tiada jalan mudah dan pintas untuk mendapatkannya, Tetapi kita terutamanya di Nusantara ini terlalu tksub dengan jampian-jampian pada air dan berbagai lagi sedangkan tiada tunjuk ajar dari Nabi SAW, Tidak pernah nabi berbuat demikian, Nabi pernah berdoa pada ibnu A'bbas Radhiyallahuanhuma اللهم علمه الكتاب Ya Allah Ajarkanlah dia Al-Kitab Riwayat Al-Bukhari. Pun Begitu tidaklah Ibnu A'bbas hanya menuggu tanpa usaha selepas didoakan nabi..Beliau berusaha dan benar-benar menjadi sahabat yang Faqeh dalam berbagai Ilmu..Jika demikian I'tiqad kita pada hari ini maka nabi tidak perlu berjuang sehingga ramai yang terkorban dan bersusah dalam perjuangan, jika hidayah,penerangan hati,cerdik dan faqeh dalam agama hanya dengan Ruqyah @ jampi pada air nescaya nabi dan para Sahabat akan mendahuluinya لو كان خيرا لسبقون إليه ،Jika benar ianya ada kebaikan nescaya kami(para sahabatlah) yang akan mendahului melakukannya..Amalan ini tiada petunjuk yang kuat.Malah dari pengamalan pun menampakkan kepincangan dan ketidakjernihan Aqidah yang bersih.. Allah Berfirman ادعوني أستجب لكم mintalah padaKu nescaya Aku aku akan perkenankan mengapa perlu ada silah(penghubung)hati mesti berhubung dengan Allah,Rahmat Allah, Hatta jika diminum Air Zam-Zam yang mana terdapat Hadis yang Sohih mengenainya الماء زمزم لما شرب له (Air zam zam akan diberi kurnia pada peminumnya(atas apa yg (diniatkannya) ).. Hati dan jantung kita tidak boleh tertumpu pada makhluk Allah ini semata-mata akan tetapi perlu bergantung dan menumpukan pada Rahmat Allah Azzawajalla..
Mudah-mudahan kita dikurniakan kejayaan didunia dan akhirat.Bagi pelajar Tahun 6 SKKD Ustaz doakan agar dipermudahkan Allah dalam semua urusan..Wallahu A'lam
Saturday, July 16, 2011
Nisfu Sya'ban
Beberapa Pendapat Ulama Muktabar Tentang Sambutan Nisfu Sya`ban
Rasulullah sallAllahu `’alaihi wasallam bersabda:
“ALLAH melihat kepada hamba-hambaNYA pada malam nisfu Sya`ban, maka DIA mengampuni semua hamba-hambaNYA kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Hadith Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Hadith di atas merupakan hadith yang sahih dari Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkenaan fadhilat nisfu Sya’ban. Terdapat banyak lagi dikatakan hadith-hadith yang membentangkan tentang fadhilat dan kaifiat sempena Nisfu Sya`ban. Namun, hadith-hadith tersebut telah dikategorikan sebagai dhaif (lemah) dan maudhu` (palsu).
Adapun berkenaan beberapa amalan masyarakat umum dalam menyambut nisfu Sya`ban, berikut disenaraikan beberapa pandangan `ulama muktabar tentangnya:
(1) Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Sya`ban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)
(2) Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).
(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).”
(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
(3) Al-Hafiz al-Iraqi:
“Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya`ban adalah maudhu`, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.”
(4) Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’:
“Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan `Isya’ pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya`ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid`ah (ditokok tambah dalam agama).”
(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
(5) Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz:
“Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu).”
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).
(6) Al-Imam as-Suyuti:
“(Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah).”
(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
Kesimpulan
-
Beribadatlah mengikut apa yang telah disyariatkan melalui nas sahih yang diperolehi dari al-Quran dan as-Sunnah. Jangan sekadar mengamalkan sesuatu ibadah kerana ikut-ikutan, tanpa sandaran yang kukuh dari al-Quran dan as-Sunnah.
-
Perbanyakkanlah ibadah pada malam Nisfu Sya`ban dengan mengambil fadhilat dari hadith yang telah disebut di atas. Dirikanlah solat sunnat, baca al-Quran dan lain-lain amalan baik bagi mendekatkan diri kepada ALLAH. Tiada amalan ibadah tertentu dan khas yang bersumberkan nas yang sahih sempena Nisfu Sya`ban. Hal ini telah disebut oleh beberapa ulama seperti di atas.
-
Jauhkan dari perbuatan syirik dan sifat permusuhan. Kerana dua sifat yang buruk ini membuatkan diri seseorang tidak mendapat keampunan ALLAH pada malam Nisfu Sya`ban.
- Berhati-hatilah dengan ancaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam hal berdusta ke atas Baginda SAW. Berdusta ke atasnya bermaksud menyandarkan sesuatu amalan dan perkara kepada Baginda sallAllahu `alaihi wasallam, walhal Nabi SallAllahu `alaihi wasallam tidak pernah berkata, perbuat atau bersetuju amalan sebegitu. Sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka)
Semoga ALLAH Yang Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa kita, amin.
WAllahu Ta`ala A`lam.
Saturday, June 11, 2011
Menjawab Tohmahan terhadap Pegangan Ahli Sunnah &Tokohnya (Bahagian Pertama)
TOHMAHAN PERTAMA:
Ibn Taimiyyah Dan Ibn al-Qayyim Pencetus Fahaman Tajsim Dan Tashbih.
Dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 3-4 (Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah, Hal: 4-5) Al-Ghari mentohmah Ibn Taimiyyah[1] dan muridnya Ibn Al-Qayyim[2] sebagai pencetus fahaman tajsim (memvisualisasikan Tuhan) dan tashbih (menyerupakan Tuhan dengan makhluk). Beliau cuba membuktikan tohmahan itu berdasarkan kenyataan Ibn Taimiyyah yang dikatakan menolak takwilan terhadap ayat-ayat sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab Munazarah Aqidah Al-Wasitiyyah, manakala tuduhan ke atas Ibn Al-Qayyim pula didasarkan kepada kitab Mukhtasar As-Sawa’iq Al-Mursalah.
Kemudian, dalam Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia, Hal: 6, Al-Ghari menuduh Ibn Taimiyyah ada menyatakan dalam kitabnya At-Ta’sis Fi Ar-Radd ‘Ala Asas At-Taqdis bahawa aqidah tajsim dan tasybih tidak dicela dalam Al-Quran dan tidak ada seorangpun dari kalangan ulama salaf yang mengkritik aqidah tersebut.
Pertama: Antara Ciri Golongan Ahli Sunnah Adalah Mereka Dituduh Berfahaman Tajsim Dan Tasybih Oleh Golongan Ahli Bid’ah.
Tuduhan ke atas tokoh ulama Ahli Sunnah sebagai mujassimah dan musyabbihah bukanlah suatu yang baru kerana ia telah berlaku sejak dari dulu lagi ketika kemunculan aliran-aliran pemikiran yang sesat[3]. Dalam konteks ini, Abu Hatim Ar-Razi rahimahullah (227H) berkata (maksudnya):
“Tanda-tanda aliran Al-Jahmiyyah adalah mereka menggelar Ahli Sunnah sebagai musyabbihah…”[4].
Al-Barbahari rahimahullah (329H) pula berkata (maksudnya):
“Bila kamu mendengar seseorang berkata (kepada Ahli Sunnah): “Si fulan adalah musyabbih (menyerupakan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat makhluk) atau si fulan memperkatakan tentang tasybih, maka ketahuilah bahawa dia (orang yang berkata itu) ialah seorang Jahmiyyah” [5].
Manakala Abu ‘Uthman As-Sobuni rahimahullah (499H) pula berkata (maksudnya):
“Ciri-ciri ahli bid’ah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terang memusuhi dan menghina Ahli Sunnah dan Ahli Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang buruk seperti Al-Hasyawiyyah (orang yang mementingkan perkara remeh-temeh), Al-Jahalah (orang yang jahil) dan Al-Musyabbihah (orang yang menyerupakan Sifat Allah dengan sifat makhluk)”[6].
Justeru segala tuduhan yang dilemparkan oleh Al-Ghari ke atas Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim mestilah dinilai dan dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, kerana seseorang yang sanggup berbohong ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tergamak mengecam para Sahabat radhiallahu 'anhum akan lebih tergamak untuk berbohong dan mengecam para ulama selain mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah ke atas suatu kaum tanpa mengetahui keadaan sebenarnya, lalu kamu menyesal di atas perbuatanmu itu”[7].
Kedua: Ibn Taimiyyah Sebenarnya Menolak Fahaman Tajsim Dan Tasybih.
Judul sebenar kitab yang dinisbahkan oleh Al-Ghari kepada Ibn Taimiyyah ialah Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah Wa Majlis Al-Munazarah Fiha Baina Syeikh Islam Ibn Taimiyyah Wa ‘Ulama ‘Asrih. Berdasarkan judul ini, dapat difahami secara mudah bahawa kitab itu sebenarnya bukan karya Ibn Taimiyyah, tetapi karya ulasan oleh ulama terkemudian. Karya Ibn Taimiyyah yang sebenar ialah Al-Aqidah Al-Wasitiyyah.
Demikian juga bagi kitab Mukhtasar As-Sawa’iq Al-Mursalah, ia adalah ringkasan daripada karya asal Ibn Al-Qayyim yang berjudul As-Sawa’iq Al-Mursalah Fi Ar-Rad ‘Ala Al-Jahmiyyah Wa Al-Mu’attilah.
Bila dirujuk kepada kitab Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah dari awal sehingga akhir, maka didapati Ibn Taimiyyah langsung tidak menyebut ungkapan yang menunjukkan bahawa beliau berpegang dengan fahaman tajsim atau tasybih, sebaliknya keseluruhan kenyataan beliau berkenaan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala menjurus kepada penolakan terhadap dua jenis fahaman sesat, iaitu tajsim (menjisimkan Allah Subhanahu wa Ta’ala atau tasybih) dan ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan, Ibn Taimiyyah sebenarnya langsung tidak menyebut perkataan takwil dalam kitabnya Al-Aqidah Al-Wasitiyyah seperti yang didakwa oleh Al-Ghari itu. Kata Ibn Taimiyyah:
فهذا اعتقاد الفرقة الناجية المنصورة إلى قيام الساعة، أهل السنة والجماعة وهو الإيمان بالله...ومن الإيمان بالله الإيمان بما وصف به نفسه في كتابه وبما وصفه به رسوله محمد صلى الله عليه وسلم من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا ثمثيل بل يوءمنون بأن الله سبحانه ليس كمثله شيء وهو السميع البصير فلا ينفون عنه ما وصف به نفسه ولا يحرّفون الكلم عن مواضعه ولا يلحدون في أسماء الله وآياته ولا يكيّفون ولا يمثّلون صفاته بصفات خلقه لأنه سبحانه لا سميّ له ولا كفو له ولا ند له ولا يقاس بخلقه سبحانه وتعالى...
Maksudnya: “Maka ini adalah i’tiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna)[8], tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).
Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat[9]. Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…”[10].
Di halaman yang lain, Ibn Taimiyyah berkata:
فإن الفرقة الناجية أهل السنة والجماعة يؤمنون بذلك كما يؤمنون بما أخبر الله به في كتابه من غير تحريف ولا تعطيل ومن غير تكييف ولا تمثيل بل هم الوسط في فرقة الأمة كما أن الأمة هي الوسط في الأمم فهم وسط في باب صفات الله سبحانه وتعالى بين أهل التعطيل الجهمية وأهل التمثيل المشبهة...
Maksudnya: “Maka sesungguhnya firqah najiah Ahli Sunnah Wal Jamaah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas hadith berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala), sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitabNya, tanpa tahrif, tanpa ta’til, tanpa takyif dan tanpa tamthil. Bahkan merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga yang sederhana di kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara ahli Ta’til Al-Jahmiyyah dan ahli Tamthil Al-Musyabbihah”[11].
Berdasarkan kata-kata di atas, ternyata bahawa Ibn Taimiyyah berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memahami nas-nas Sifat, iaitu tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Ini jauh berbeza dengan golongan Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah yang berpegang dengan fahaman tajsim dan tasybih kerana mereka menyamakan kaifiyyat (bentuk dan ciri) sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluknya. Dalam kata-katanya itu, Ibn Taimiyyah cuba menjelaskan kesederhanaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada antara dua jenis fahaman sesat yang melampau, iaitu fahaman tajsim (atau tasybih) dan fahaman ta’til[12].
Dalam kitabnya yang lain Ibn Taimiyyah berkata:
فلا بد من إثبات ما أثبته الله لنفسه ونفي مماثلته لخلقه، فمن قال: ليس لله علم ولا قوة ولا رحمة ولا كلام ولا يحب ولا يرضى ولا نادى ولا ناجى ولا استوى كان معطّلا جاحدا ممثّلا لله بالمعدومات والجمادات، ومن قال: له علم كعلمي أو قوة كقوتي أو حب كحبي أو رضا كرضاي أو يدان كيديّ أو استواء كاستوائي كان مشبّها ممثّلا لله بالحيوانات، بل لا بد من إثبات بلا تمثيل وتنـزيه بلا تعطيل.
Maksudnya: “Maka tidak dapat tidak, mesti menetapkan apa yang telah Allah tetapkan bagi diriNya dan menafikan penyerupaanNya dengan makhlukNya. Sesiapa yang kata Allah tidak ada ilmu, tidak ada kekuatan, tidak ada kasihan belas, tidak ada percakapan, tidak ada kasih sayang, tidak ada keredaan, tidak memanggil, tidak menyeru dan tidak meninggi, maka dia adalah seorang pembatal yang ingkar (terhadap sifat Allah) dan yang menyamakan Allah dengan benda yang tiada atau benda yang kaku.
Manakala sesiapa yang kata ilmuNya seperti ilmuku, kekuatanNya seperti kekuatanku, kasih sayangNya seperti kasih sayangku, keredaanNya seperti keredaanku, tanganNya seperti tanganku dan meninggiNya seperti meninggiku, maka dia adalah seorang musyabbih yang menyamakan Allah dengan haiwan (makhluk). Justeru, tidak dapat tidak, mesti mengithbatkan (menetapkan) tanpa penyamaan dan mesti mensucikan tanpa pengingkaran” [13].
Penjelasan Ibn Taimiyyah ini sudah tentu dilihat sebagai akuan dan penetapan beliau terhadap kebenaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sederhana itu, dan bukan sebagai akuan terhadap fahaman tajsim. Adalah sangat tidak munasabah jika seorang tokoh ulama yang telah menjelaskan kesesatan fahaman tajsim tiba-tiba dituduh berpegang dengan fahaman tersebut.
Ketiga: Lima Kaedah Dalam Berinteraksi Dengan Sifat-Sifat Allah.
Sesungguhnya pendekatan beriman dan menetapkan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana ia disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah tidak akan membawa kepada fahaman tajsim atau tashbih, selagi kefahaman itu diikat kukuh dengan kaedah-kaedah pemahaman nas Sifat yang mantap. Antara kaedah-kaedah tersebut ialah:
Kaedah Pertama:
Jika berlaku perkongsian nama antara Sifat Allah dan sifat makhluk, maka ia tidak boleh difahami dengan maksud penyamaan kedua-dua sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan[14]. Asas bagi kaedah ini diambil daripada firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”[15].
Berdasarkan maksud ayat ini, jika berlaku perkongsian nama beberapa sifat tertentu antara Allah dan makhluk seperti sifat Al-Yad (Tangan), Al-Wajh (Wajah), Al-’Ain (Mata), Al-Hayy (Maha Hidup), As-Sami’ (Maha Mendengar) dan Al-Basir (Maha Melihat), maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Dengan perkataan lain, sifat Tangan, Wajah, Mata, Maha Hidup, Maha Mendengar dan Maha Melihat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta’ala mesti difahami dalam konteks yang bersesuaian dengan keagungan dan ketuhananNya, manakala sifat tangan, hidup, mendengar dan melihat yang ada pada makhluk pula mesti difahami dalam konteks yang bersesuaian dengan kejadian dan kemakhlukannya.
Jika seseorang itu berpegang teguh dengan kaedah ini, maka tidak timbul unsur penyamaan dan penyifatan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sifat makhluk, kerana penafian terhadap persamaan yang terkandung dalam ayat itu tidak memungkinkan wujudnya sebarang bentuk persamaan.
Kaedah Kedua:
Perbahasan tentang Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sama seperti perbahasan berkenaan ZatNya[16]. Jika Allah Subhanahu wa Ta’ala memiliki Zat yang tidak menyerupai zat makhluk, maka demikian juga sifat dan perbuatanNya mesti difahami dalam konteks yang tidak menyerupai sifat dan perbuatan makhluk.
Kaedah Ketiga:
Perbahasan tentang sebahagian daripada nas-nas Sifat sama seperti perbahasan berkenaan sebahagian yang lain[17]. Kaedah ini menolak pegangan sesetengah golongan yang menetapkan sebahagian sifat seperti sifat Hayah (Hidup), ‘Ilm (Ilmu), Qudrat (Kuasa), Sam’ (Dengar), Basar (Lihat), Kalam (Berkata-kata) dan Iradah (Berkehendak), tetapi pada masa yang sama mereka menolak pula sebahagian sifat yang lain seperti sifat Mahabbah (Kasih Sayang), Reda (Reda), Ghadab (Marah) dan Karahah (Benci) dengan menjadikan sifat-sifat itu hanya sebagai kiasan bagi maksud ni’mat dan pembalasan.
Mereka berpegang dengan pegangan sedemikian kononnya untuk mengelakkan berlakunya tasybih (penyerupaan sifat Allah dengan sifat makhluk). Maka, dengan kaedah ini dikatakan kepada mereka bahawa sifat-sifat yang kamu tetapkan bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala itu juga ada pada makhluk. Justeru, sebagaimana kamu menetapkan sifat-sifat yang kamu tetapkan itu mengikut kesesuaiannya dengan kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka begitulah juga sifat-sifat yang kamu tolak itu juga mesti ditetapkan mengikut kebesaran dan keagunganNya bagi mengelakkan tasybih.
Kaedah Keempat:
La Yajuz Ta’khir Al-Bayan ‘An Waqt Al-Hajah, maksudnya: “Tidak harus menangguhkan penjelasan pada masa ia diperlukan”[18]. Berdasarkan kaedah ini, maka tidak harus bagi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menangguhkan penjelasan pada masa ia diperlukan, terutama dalam persoalan akidah.
Justeru sekiranya benar berpegang dengan zahir nas sifat akan membawa kepada kekufuran seperti yang didakwa oleh para pendukung takwil, maka kenapa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mentakwilkan perkataan istiwa’ itu dengan perkataan istila’ seperti yang dilakukan oleh para pentakwil itu? Seandainya benar semua nas-nas sifat itu mesti ditakwil untuk mengelak tasybih, nescaya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menjelaskan takwilan setiap nas itu kepada para Sahabat radhiallahu 'anhum kerana tidak harus menangguhkan penjelasan pada masa ia diperlukan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan iman dan kekufuran.
Sekiranya ada penjelasan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan takwilan itu nescaya ia akan sampai kepada kita melalui riwayat yang sahih, sebagaimana nas-nas syara’ yang lain. Oleh kerana tidak ada satu riwayatpun, baik riwayat hadith maupun riwayat sejarah berkaitan hal ini, maka ia mengesahkan kebid’ahan konsep takwil itu sendiri. Tidak harus diandaikan bahawa riwayat–riwayat berkenaan penjelasan itu tidak sampai kepada kita kerana andaian sedemikian bercanggah dengan jaminan Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap keselamatan ajaran agamaNya[19].
Kaedah Kelima:
Faktor yang mendorong seseorang untuk menolak atau mentakwilkan sesuatu nas sifat bermula dengan tasybih. Kaedah ini bermaksud bahawa seseorang yang menolak atau mentakwilkan sesuatu nas sifat, dia sebenarnya telah terlebih dahulu mentasybihkan (menggambarkan penyerupaan) sifat Allah dengan sifat makhluk. Kemudian, setelah dia menggambarkan penyerupaan itu, dia merasa perlu untuk mentakwilkannya bagi mengelakkan gambaran tersebut. Dengan perkataan lain, seseorang yang mentakwilkan sesuatu nas sifat, dia sebenarnya telah melakukan dua kesesatan sekaligus, iaitu tasybih dan takwil. Dalam konteks ini Asy-Syanqiti rahimahullah berkata:
اعلم أولا أنه غلط في هذا خلق لا يحصى كثرة من المتأخرين فزعموا أن الظاهر المتبادر السابق إلى الفهم من معنى الاستواء واليد مثلا في الآيات القرآنية هو مشابهة صفات الحوادث، فقالوا: يجب علينا أن نصرفه عن ظاهره إجماعا لأن اعتقاد ظاهره كفر لأن من شبه الخالق بالمخلوق فهو كافر...ولا يخفى أن هذا القول من أكبر الضلال ومن أعظم الافتراء على الله جل وعلا ورسوله صلى الله عليه وسلم، والحق الذي لا يشك فيه أدنى عاقل أن كل وصف وصف الله به نفسه أو وصفه به رسوله صلى الله عليه وسلم فظاهره المتبادر منه السابق إلى فهم من في قلبه شيء من الإيمان هو التنـزيه التام عن مشابهة شيء من صفات الحوادث، فمجرد إضافة الصفة إليه جل وعلا يتبادر إلى الفهم أنه لا مناسبة بين تلك الصفة الموصوف بها الخالق وبين شيء من صفات المخلوقين...
والجاهل المفترى الذي يزعم أن ظاهر آيات الصفات لا يليق بالله لأنه كفر وتشبيه إنما جرّ إليه ذلك تنجس قلبه بقذر التشبيه بين الخالق والمخلوق فأداه شؤم التشبيه إلى نفي صفات الله جل وعلا وعدم الإيمان بها، مع أن جل وعلا هو الذي وصف بها نفسه، فكان هذا الجاهل مشبها أولا ومعطلا ثانيا فارتكب ما لا يليق بالله ابتداء وانتهاء، ولو كان قلبه عارفا بالله كما ينبغي معظما لله كما ينبغي طاهرا من أقذار التشبيه لكان المتبادر عنده السابق إلى فهمه أن وصف الله جل وعلا بالغ من الكمال والجلال ما يقطع أوهام علائق المشابهة بينه وبين صفات المخلوقين، فيكون قلبه مستعدا للإيمان بصفات الكمال والجلال الثابتة لله في القرآن والسنة الصحيحة مع التنـزيه التام عن مشابهة صفات الخلق على نحو قوله: ليس كمثله شيء وهو السميع البصير...
Maksudnya: “Ketahuilah dahulu, bahawa sesungguhnya generasi terkemudian yang tersalah dalam perkara ini tidak terhitung ramainya kerana mereka menyangka makna zahir yang terlintas dan yang terlebih dahulu sampai kepada kefahaman terhadap perkataan seperti istiwa’ (meninggi) dan yad (tangan) yang ada dalam ayat-ayat Al-Quran itu ialah musyabahah (penyerupaan) dengan sifat hawadith (makhluk). Mereka berkata: “Wajib atas kita menukar (makna)nya dari zahirnya secara ijma’ (sepakat) kerana berpegang dengan zahirnya adalah suatu kekufuran dan sesiapa yang menyerupakan Al-Khaliq (Allah) dengan makhluk maka dia seorang kafir…”.
Ternyata bahawa kata-kata ini dari (jenis) kesesatan dan pembohongan yang paling besar ke atas Allah Jalla Wa’ala dan juga ke atas RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang yang ada sedikit akal tidak akan meragui kebenaran bahawa setiap sifat yang Allah sifatkan diriNya atau yang disifatkan oleh RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam dengannya, maka (makna) zahir yang terlintas dan yang telah terlebih dahulu sampai kepada kefahaman orang yang ada sedikit iman di dalam hatinya ialah at-tanzih at-tam (penyucian yang sempurna) dari sebarang penyerupaan sifat hawadith (makhluk). Ini kerana dengan semata-mata penisbahan sifat itu kepadaNya Jalla Wa’ala, akan terlintas kepada kefahaman bahawa tidak ada kesesuaian antara sifat yang disifatkan pada Al-Khaliq itu dengan sebarang sifat makhluk.
Si jahil pembohong yang menganggap zahir ayat-ayat sifat itu tidak layak dengan (kebesaran) Allah kerana (kononnya) ia adalah suatu kekufuran dan tasybih, sebenarnya dia telah didorong kepada yang demikian itu oleh kenajisan hatinya dengan kotoran tasybih antara Al-Khaliq dan makhluk, maka kesialan tasybih itulah yang mendorongnya untuk menafikan sifat-sifat Allah Jalla Wa’ala dan juga untuk tidak beriman dengannya. Sedangkan Dialah Jalla Wa’ala yang menyifatkan diriNya dengannya.
Maka, si jahil itu pada mulanya dia seorang musyabbih (penyerupa sifat Allah dengan makhluk) dan kemudian dia menjadi seorang mu’attil (penafi sifat Allah). Justeru dia telah melakukan perkara yang tidak layak bagi Allah di awal dan di akhir. Sedangkan jika hatinya mengenal Allah dan mengagungkanNya sebagaimana yang sepatutnya, (dan jika hatinya) bersih daripada kotoran tasybih, nescaya yang terlintas dan yang terlebih dahulu sampai kepada kefahamannya ialah bahawa kesempurnaan dan keagungan penyifatan Allah Jalla Wa’ala telah sampai ke tahap memutuskan segala imaginasi penyerupaan antara sifatNya dan sifat makhluk.
Maka jadilah hatinya bersedia untuk beriman dengan sifat-sifat kesempurnaan dan keagungan yang tetap bagi Allah dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih beserta at-tanzih at-tam (penyucian yang sempurna) dari sebarang penyerupaan sifat makhluk, sebagaimana firmanNya (yang bermaksud): “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”[20].
Berdasarkan kaedah-kaedah di atas, dapat disimpulkan bahawa orang yang beriman dan yang menetapkan makna nas-nas sifat sebagaimana yang disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah, tidak sekali-kali akan terpalit dengan kotoran tasybih. Sebaliknya orang yang mentakwilkan nas-nas sifat itulah sebenarnya yang benar-benar bergelumang bahkan lemas dalam lopak najis tasybih itu.
Akan bersambung dalam posting yang berikutnya InsyaAllah...
Thursday, June 9, 2011
Hidup...
بسم الله الرحمن الرحيم
الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Alhamdulillah bersyukur pada Allah Tuhan sekalian alam,dengan kenikmatan dan kesenangan yang dicurahkaNya pada kita saban saat kita hidup didunia ini....
Mudah-mudahan kita menjalani kehidupan ini dengan penuh bermakna dan bererti dan yang paling utama mendapat keredhaan Allah Jalla wa A'la...Jika difikirkan sejenak betapa ramai manusia didunia ini terlantar sakit dan mati saban saat,minit,jam,hari,bulan dan tahun...tetapi kita tetap dapat menghela nafas dan berdiri diatas muka bumi ini sehingga lah ke hari ini...Allah menyimpan umur kita, Allah masih memberi ruang pada kita...alangkah sia-sia dan rugilah jika kita memenuhinya dan menjalani ruang kehidupan yang masih diberikan Allah ini tanpa ada kesannya sedikit pun pada diri kita sendiri apatah lagi orang sekitar kita mahupun agama,bangsa,negeri atau negara..
Masa semakin berlalu meninggalkan...satu generasi demi generasi memenuhi ruang masa tersebut...Renungkan dan fikirkan sejenak...
Alhamdulillah hari ini ana menjenguk kembali blog usang ana ini, terketuk dengan keluhan datuk saudara ana yang semalam ana ziarahinya...beliau katakan tentang blog oni yang agak menyepi sekian lama,Ana pun tak sangka masih ada yang mengikuti perkembangan coretan ana yang dhoif ini,syukron dan terima kasih diucapkan,Agak lama ana tak bertemu dengan beliau..mungkin disebabkan hal tugas masing-masing mencari rezeki halal dan beribadah padaNya tapi Alhamdulillah semalam lama kami berbual dan ana merasa seronok dan mengagumi beliau yang bersungguh-sugguh sekarang ini sentiasa mencari dan mengikuti kuliah-kuliah ilmu disekitar Kamunting dan Taiping memandangkan beliau baru sahaja bersara,Alhamdulillah...
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda
ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة
“Dan barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudah baginya jalan menuju surga.” (HR. Muslim)
betapa tinggi darjat orang yang menuntut ilmu disi Islam...Ini kerana ilmu itu memandu dan memacu kita melakukan amal soleh dengan tepat,berbeza beramal tanpa ilmu boleh menjerumuskan kita dalam kesesatan sepertimana dalam stu riwayat Ad Daarimi,dari Abdullah Ibn Masu'd dalam hadis marfu' menurut Abdil Bar.Katanya :
كم من مريد للخير لن يصيبه
"betapa ramai yang bertujuan baik tetapi tidak menepatinya"
dimana dalam hadith tersebut terdapat segolongan manusia mengadakan beberapa halaqah yang kecil sebelum masuknya waktu solat dan mereka diketuai oleh seorang lelaki dengan menyuruh mereka bertsbih 100x, bertahmid 100x, dan bertakbir 100x, perkara ini dibawa kepada pengetahuan Abd Allah ibn Masud oleh Abu musa Al Asyaa'ri, Perkara ini tidak pernah dilakukan Rasulullah SAW mahupun para sahabat,ana ringkaskan hadith ini kerana matannya yang panjang..Lalu ditanya akan Ibn Masud akan perbuatan mereka dan apa yang dijawab oleh mereka ialah "tidaklah kami menghendaki apapun melainkan kebaikan sahaja"
Untuk itu dapat kita simpulkan Syarat Amal Soleh ialah
Yang Pertama : mesti ikhlas kerana Allah Azza wajalla
Yang Kedua : Mesti tepat dengan Al-Quran Karim & Sunnah Sohihah
Akhir Kalam kita sama -sama kita jadikan kata-kata di bawah ini sebagai pedoman kita
Nasihat Imam Bukhari
العلم قبل القول والعمل
“Berilmu sebelum berucap dan berbuat.”
Mudah-mudahan kita mendapat Redha Allah Subhanahu waTaala
dan Sakinah (Ketenangan) dalam kehidupan.
Wallahu A'lam
هذا من فضل ربي
Wednesday, October 27, 2010
Syiah Memandang, Pindahnya Orang Sunni ke Nasrani Lebih Menyenangkan Daripada Tetap Menjadi Sunni
Lihat video ini..Begitu menyayatkan hati..Subhanallah..
Pengkhianatan Syiah sudah sampai puncaknya, dimana mereka berusaha keras menghadapi Ahlu sunnah. Sampai-sampai salah seorang penguasa Iran berpikir hendak memanggil kelompok-kelompok missionaris guna membuat perjanjian dengan mereka untuk mengkristenkan kaum muslim Sunni suku Kurdi.
DR. Amal As-Subki dalam bukunya Tarikh Iran As-Siyasi mengatakan:
"Dari beberapa hal yang benar-benar mengkhawatirkan dalam politik kristenisasi Amerika adalah, ditanda tanganinya kesepakatan antara masing-masing pemerintahan Iran, Irak, dan Turki di Adenbera 1910.
Kesepakatan itu secara terang-terangan merekomendasikan kepada Gereja Evangelis Louseri untuk melakukan penyebaran agama Kristen di antara masyarakat suku Kurdi muslim yang ada di ketiga negara Islam tersebut. Pemerintahan Iran pada masa Syah Reza Pahlavi telah memperbaharui kesepakatan itu pada tahun 1928. Maksud dari Syah Iran ini adalah untuk merealisasikan berbagai macam tujuan, di antaranya:
Pertama; Mengurangi kepadatan (jumlah) penduduk Kurdi yang telah menetap di Azarbaijan Iran sejak ratusan tahun yang lalu, yang sering kali bekerja sama dengan Turki yang Sunni melawan Iran, untuk menyelamatkan mereka dari kezhaliman.
Kedua; Menghancurkan kekuatan mereka dengan mengubah sebagian besar dari mereka menjadi Kristen, paska sikap pemerintah Turki yang berubah dalam mendukung mereka setelah revolusi Kamal Ataturk pada seperempat pertama abad kedua puluh.
Ketiga; Meleburkan identitas Kurdi (Sunni) dalam nasionalisme Iran, untuk memantapkan kekuasaan atas mereka dan mencegah bersatunya nasionalisme Kurdi dengan rekan-rekannya di Irak, Turki dan Syiria.
Sungguh. Aneh Cara Berpikir Para Pengkhianat Itu!
Apakah Ali bin Abi Thalib atau salah satu dari Ahlul Bait rela dengan keluarnya seseorang dari Islam menjadi Nasrani atau yang lainnya?!
Kemudian mereka memandang orang-orang Kurdi (orang-orang Sunni), seandainya mereka berubah menjadi Nasrani, ketajaman mereka akan tumpul, lalu mereka akan terbebas dari kejahatan orang-orang. Kurdi.
Ini bukanlah sekadar permainan politik. Tetapi, sudah seperti inilah keyakinan orang-orang Syiah. Seorang Nashibi (Sunni) lebih dahsyat kekufurannya daripada seorang Nasrani atau Yahudi. Karena itulah para imam mereka memperbolehkan shadaqah kepada kafir dzimmi dan tidak boleh kepada orang Sunni.
Ayatullah mereka, Khomeini berkata:
"Yang menjadi pertimbangan untuk orang yang diberi shadaqah Sunnah adalah kefakiran bukan karena keimanan dan Islam. Maka orang kaya boleh memberikannya kepada kafir dzimmi dan orang yang melanggar (mukhalif), walaupun mereka orang asing. Dan tidak boleh diberikan kepada Nashibi (Sunni) dan kafir harbi, walaupun mereka kerabat (jadi bagi mereka, orang Ahlu sunnah disamakan dengan orang kafir harbi)." 58
Ini berarti bahwa perbuatan ini, yaitu kesepakatan gerakan-gerakan kristenisasi terhadap orang-orang suku Kurdi, bukan hanya pandangan Syah Reza Pahlavi, orang yang juga ditentang oleh Khomeini, tetapi juga pandangan Khomeini dan sebagian besar orang-orang Syiah Rafidhah yang ekstrim.
IFF Satu Penghinaan Kepada Islam & Malaysia
Festival Fesyen Islam (IFF) yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu merupakan satu penghinaan kepada Islam.
Festival busana tersebut dinaungi oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor.
"Penganjuran Festival Fesyen Islam, walaupun namanya Islam, tetapi ia jelas menghina Islam apabila menampilkan model yang berpakaian menjolok mata. Lebih menyedihkan apabila model terbabit memakai baju yang tertulis 'Muhammad' dalam bahasa Arab dalam keadaan terbalik."Soalnya, apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penganjur dalam festival ini melainkan berniat mahu menghina Islam? Lebih dari itu, mengapakah Datin Seri Rosmah Mansor terlibat secara langusng merasmikan dan menaungi festival ini.
Berikut beberapa pandangan dari Dr. Maza :
1. Berdasarkan apa yang ditonjol, jelas bahawa mengaitkan fesyen-fesyen tersebut dengan Islam adalah satu penghinaan. Sama sekali ia tidak islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak.
2. IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.
3. Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini.
4. Mereka yang terlibat hendaklah memohon maaf kepada umat Islam dan mengisytiharkan kepada awam bahawa yang dianjurkan itu bukanlah ‘Islamik’.
5. Bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti ini. Ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia, apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting.
6. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan. Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim.
7. Saya mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan ‘Islamic fashion’ mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu. Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak.