Lilypie Second Birthday tickers

Friday, October 30, 2009

Jangan Biarkan Kami Mati di Gereja



Oleh : Ustaz Amin

“Ustaz, boleh tak kami nak jumpa. Ada hal penting ni” kedengaran suara seorang kakak dari telifon saya. “InsyaAllah, nanti kak jumpa saya selepas saya habis mengajar hadith di Yayasan Restu ye,” jawab saya. Hari ini selepas kelas hadith bersanad di Yayasan Restu, telefon saya sekali lagi berbunyi, “ustaz, dah ada kat ofis ke?, kami dah nak sampai ni” katanya.

“Oh, terima kasih kerana ingatkan, nak jumpa dekat Yayasan”, bisik hati saya. Ye ye.. sekarang juga saya bertolak kak. Dalam lima minit lagi, InsyaAllah, saya sampai” kata saya pada kakak yang tidak saya kenali ini.

Sesampainya di ofis, sudah ada seseorang yang menunggu saya. Saya mempersilakan orang ini masuk. Dia membincangkan mengenai anak yatim al-Ijabah yang diusahakan. Lima minit kemudian, dari cermin ofis, saya melihat, masuk dua orang perempuan. Pekerja saya mempersilakannya duduk sebentar. Saya cepat-cepat menghabiskan perbincangan dengan orang pertama tadi. Selepas orang ini meminta diri, saya mempersilakan kedua-dua orang kakak ini masuk ke dalam ofis.

Inilah gereja yang menempatkan anak Muslim Melayu yang menghidap HIV
Baca Seterusnya >


“Ye kak, apa yang boleh saya bantu? Kata saya. “Ustaz, saya dengar, ustaz sedang usahakan untuk mengeluarkan orang-orang Islam tu dari gereja ye.” Salah seorang dari mereka memulakan perbualan. “Bukan saya kak, tapi sahabat-sahabat semua,” kata saya.

“Abis, ustaz nak letakkan dia orang ke mana? Tanyanya lagi.

“Doakan kak, kita sedang usahakan alternative semampu yang dapat. Kita pun tak mahu keluarkan mereka, kemudian mereka terabai. Setakat ini, yang masih mampu uruskan diri telah mula dikeluarkan. Tetapi yang terlantar, kita perlukan keperluan-keperluan yang banyak juga kosnya. “

“Terima kasihlah ustaz,” katanya. “Kenapa kak?” kata saya kerana tidak faham sebab ucapan terima kasihnya. “Sebenarnya, antara penghuni di situ adalah adik kami.” Kata salah seorang dari kakak ini.

“Beberapa bulan dahulu, dia hilang dari pengetahuan kami, hinggalah akhirnya pihak hospital hubungi saya. Pihak hospital menyuruh saya mengambil adik saya ini dari sana. Rupanya dia telah terlantar tenat.” Kakak ini menjelaskan.

“Saya membawanya pulang ke rumah saya. Saya tidak tahu bagaimana ingin menguruskan dengan baik. Hinggalah ada pihak yang mencadangkan agar saya menghantarnya ke gereja ini” dia meneruskan ceritanya.

“Kami tak ada pilihan ustaz. Di Selangor tidak ada tempat yang dibuat oleh orang Islam. Ketika di gereja ini , mereka menjaga adik saya dengan baik. Mereka suapkan dia makan, jaga ubatnya, mandikan dia, sapu ubat pada badannya, Alhamdulillah banyak peningkatan dia ustaz. Dari diusung, sekarang dia sudah boleh berjalan seperti biasa”. Katanya lagi. Saya terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa. Tiba-tiba, saya diajukan soalan yang saya tak tahu cara terbaik untuk menjawabnya. Ia ibarat gunung yang cuba dihempapkan ke atas kepala saya

Ustaz Amin berusaha mengeluarkan anak melayu dari gereja. penjaga kaunter pun orang melayu..

“Ustaz, berdosakah kami menghantarnya ke gereja ini ustaz? Kami tidak ada pilihan. Berdosakah kami ustaz?” Soalan itu diulangkan kepada saya. Saya hanyaboleh memberikan jawapan begini sahaja, “Kak, haram hukumnya, kena keluarkan, tak boleh macam tu, kena tawakal,.. bla..bla.bla..” atau,

“Kak, sabarlah, biarkan saja dia di sana, Tuhan bersama orang yang sabar.. bla.. bla.. bla..” atau,

“Itulah, kita orang Islam ni,macam nilah, orang lain boleh buat, kenapa kita tak buat,.. bla.. bla..bla..” atau seribu jawapan yang lain. Tapi, mana satukah jawapan terbaik? Saya boleh berikan jawapan beserta dalil-dalil Quran dan Hadith tetapi ia hanya memberitahu saya,

“Hmm.., cakap aje pandai, apa yang kau dah buat?” Akhirnya, dengan suara yang rendah saya memberikan jawapan yang tidak ada kena mengena dengan soalan.

“Kak, doakan ye, kita usahakan yang termampu”. Secara peribadi, saya memang mengakui bahawa, saya terlalu daif dan lemah. Kita boleh sembunyikan kisah ini untuk menyembunyikan kelemahan diri kita. Atau kita kena jujur mengakui bahawa kita memang lemah.

Paling kurang, dengan mengakui kelemahan diri, kita tahu, di mana untuk bermula. Jika tidak rasa, kita mempunyai kelemahan, nanti kita akan mencipta alasan untuk merasionalkan, kenapa kita tidak berbuat sesuatu.

“Tuhan, aku tidak tahu apa jawapannya. Tapi, adakah isu ini sindiran dariMu Tuhan, jika ini sebagai sindiran mengenai rapuhnya Ukhwah Islamiah kami umat Islam, ia satu yang perlu diperbaiki segera, bantulah kami Tuhan” Bisik hati saya.


Salah seorang pesakit yang mendapat layanan gereja

Sehingga ke akhir pertemuan, saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya senyuman terus cuba diukirkan walaupun terlalu pahit rasanya. Semoga Allah memberi kekuatan untuk seluruh yang cuba mengusahakan perkara ini. Semoga Allah titiskan juga keikhlasan kepada mereka, dan semoga, cita-cita mengeluarkan sahabat seIslam kita dari gereja ini ditunaikan Allah, amin !!

0 comments:

Post a Comment