Wednesday, November 11, 2009

Fatwa Merokok



Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

SATU lagi langkah kerajaan untuk membasmi tabiat merokok dalam kalangan masyarakat ialah dengan menguatkuasakan undang-undang berhubung lokasi larangan merokok. Berkuat kuasa akhir Oktober, semua kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok. Mereka yang didapati merokok di kawasan berkenaan boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Langkah kerajaan ini mengundang pelbagai reaksi bercampur antara warga masyarakat yang menginginkan suasana bebas asap rokok dengan perokok itu sendiri yang merasakan kawasan untuk mereka semakin terancam.
Baca seterusnya >
read more
Bagi golongan yang merokok, mereka mungkin terus berpegang kepada hukum merokok adalah makruh. Sebagai agama yang sentiasa sesuai dengan perkembangan ilmu dan kepesatan pembangunan teknologi, Islam mengiktiraf fatwa perubatan yang berasaskan bukti saintifik. Kajian demi kajian, baik dari segi klinikal sehinggalah ke peringkat molekular telah menyokong antara satu sama lain bahawa rokok adalah pemusnah kehidupan.

Dalam bidang perubatan otorinolaringlongi sahaja, pelbagai jenis kanser dan keadaan pra kanser telah dibuktikan kaitannya dengan aktiviti merokok. Bilangan dan tempoh yang dihisap pula berkadar langsung dengan risiko yang dihadapi. Ia bukannya sekali atau dua kali ganda, bahkan berlipat-lipat kali ganda.

Tambahan pula, risiko ini masih berterusan buat beberapa tahun selepas seseorang itu berhenti merokok. Kanser yang sering dikaitkan termasuklah kanser bibir, lidah, rongga mulut, gusi, pipi, tekak, peti suara, sinus dan banyak lagi.

Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangannya yang ke-37 telah pun memutuskan rokok adalah haram berdasarkan hujah yang hampir sama dengan fatwa-fatwa seluruh dunia yang lain. Malah Majlis Fatwa Sedunia yang berpangkalan di Arab Saudi juga menghukum haram merokok atas maklumat terkini mengenai bahaya rokok.

Namun, apa yang malang sekali ialah publisiti atau hebahan yang diberikan kepada keputusan majlis fatwa ini tidaklah seperti isu-isu panas yang lain seperti isu pengkid, sumpah laknat, yoga dan sebagainya.

Atas apa jua kapasiti yang ada, kita sebagai warga Malaysia dan lebih-lebih lagi Muslim yang bertanggungjawab haruslah sedar akan peri pentingnya impak fatwa ini jika tidak disebarkan.

Ini kerana dalam kalangan pemimpin, ustaz-ustaz bahkan imam juga masih tidak dapat berenggang dengan rokok. Amat malang sekiranya kita termasuk dalam golongan mereka yang tidak mendapat pengetahuan tentang fatwa ini.

Berhentilah merokok bukan kerana takutkan penyakit, atau takut dikompaun, atau takut habisnya duit tetapi berhentilah merokok sebagai lambang kasih cinta sejati dan sifat syukur kita kepada Tuhan.

0 comments:

Post a Comment