Pagi ini saya ke Angkasapuri.
Biar pun Selangor bercuti, tetapi demonstrasi di Parlimen menyebabkan saya bangun seawal 4 lagi. Menyiapkan apa yang patut dan keluar seawal jam 7, walau pun sesi saya ke udara ialah pada jam 8:30 pagi. “Menghulur dan Berkorban”, itu tajuk yang bakal diperkatakan.
Ternyata jangkaan saya tepat. Entah di mana rasionalnya, pihak Polis sudah mengadakan sekatan jalan raya sejauh Jalan Cheras dan ia telah mencetuskan kesesakan jalan raya yang luar biasa. Apa sahaja alasan Polis, dan apa sahaja komen rakyat, kesesakan jalan raya pagi hari Selangor bercuti ini, tetap menjadi rungutan kepada ramai.
Kesesakan berlanjutan ke merata tempat. Perjalanan yang biasanya memakan masa 30 minit dari rumah saya ke Angkasapuri, telah menjadi 1 jam lebih. Saya tiba di sana, cukup-cukup masa untuk membuat persiapan sebelum siaran langsung Selamat Pagi Malaysia. Tetapi DJ Erwan selaku moderator masih jauh terperangkap di dalam traffic jam. Setelah melewati jam 8:30 beliau belum berjaya tiba di International Broadcasting Center (IBC), lokasi pagi ini.
Setelah pelbagai agenda tambahan dimasukkan, akhirnya barulah segmen saya bersama DJ Erwan ke udara. 15 minit berbaki diisi dengan sebaiknya.
Kelewatan masa ke udara, memberikan saya banyak masa untuk berfikir.
Berfikir tentang negara, tentang rakyat, tentang pemimpin, tentang tuntutan, juga demonstrasi dan bantahan demi bantahan, juga kesesakan lalu lintas yang menghantui penduduk KL pagi ini.
REALITI MASYARAKAT
BERSIH mempunyai sebab yang jelas mengapa demonstrasi perlu diadakan pada 10 November 2007 yang lalu. Penyerahan memorandum, publisiti dan usaha mencubit rakyat yang lena di ambang pilihanraya, adalah justifikasi yang dikemukakan. Reaksi tetap pelbagai. Ada yang memperlekeh, ada yang menyokong. Yang memperlekeh lantang bersuara, yang menyokong membanjiri ibu kota.
Namun BERSIH telah dianjurkan dengan publisiti yang cukup memberitahu. Rata-rata mereka yang tinggal di sekitar Lembah Kelang sudah sedia maklum tentang perhimpunan itu, maka kesesakan lalu lintas yang luar biasa, memang telah sedia ada di dalam minda semua. Kecuali mereka yang benar-benar lumpuh dan hidup seperti binatang ternak, memikirkan hanya tentang makan, minum, kerja, rehat dan kahwin (seks) semata. Golongan ini mungkin terkejut dan terpinga-pinga.
Umumnya, keseluruhan fenomena BERSIH 10 November lalu, berada di dalam jangkaan semua pihak. Semua telah bersedia.
Sama ada kesesakan lalu lintas, hinggalah kepada penangkapan beberapa orang pemimpin Pembangkang.
Tetapi perhimpunan di Parlimen hari ini jauh berbeza. Liputannya tidak begitu meluas. Ia diburukkan lagi dengan persepsi bahawa jalan raya Kuala Lumpur akan lengang sedikit kerana Selangor bercuti. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai yang terkejut, malah saya melihat sendiri betapa kelam kabutnya studio apabila tetamu dan pengacara, tidak dapat hadir pada masanya. Siaran langsung hari ini menguji kecekapan semua pihak mengendalikan alternatif agar tidak sampai keluar jalur pelangi “Harap Maaf. Jangan Tukar Siaran Anda”!
Itu di Angkasapuri.
Bagaimana pula di tempat lain?
BERBALOIKAH SEMUA INI
Persoalan besar saya pada pagi ini ialah, berbaloikah semua ini? Berbaloikah segala rungutan orang ramai? Mampukah keseluruhan pakej kejadian hari ini dan yang sebelum-sebelumnya, diterjemahkan kepada undi yang sejahtera? Soalan ini mungkin tidak popular di kalangan Barisan Alternatif, tetapi tidak salah untuk membuat introspection secara kritis.
Tentu sahaja pembangkang boleh menunding jari kepada Pak Lah dan kabinet menteri, pihak polis dan semua jentera yang bersatu. Saya juga serius dalam mempersoalkan rasionalnya pendekatan pihak kerajaan yang memerintah dalam menangani bantahan yang dikemukakan terhadap mereka. Sebagaimana saya juga turut berasa tidak gembira dengan sekatan-sekatan jalan raya dan kekasaran melampau pihak FRU menyuraikan demonstrasi yang sepatutnya berlangsung dengan aman.
“Apalah polis ni, biar sahajalah mereka nak berdemo”, kata seorang pemerhati.
“Apahal polis buat sekatan jalan raya sampai ke Cheras ini? Perhimpunan cuma di sekitar Parlimen sahaja”, komen seorang yang ‘berfikir’.
“Hasrat kerajaan untuk meminda perkara 114 Perlembagaan Negara dalam fasa 3 dengan menggantikan perkataan 65 tahun kepada perkataan 66 tahun untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Rashid sebagai Pengerusi SPR bukan perkara kecil. Jangan biarkan ia berlaku”, alasan mereka yang peka dengan nasib dan masa depan negara.
Saya yakin, suara-suara di atas adalah suara patriotik dan sayangnya rakyat kepada Malaysia ini. Mereka bukan penyangak! Golongan penyangak adalah golongan yang hanya mementingkan diri sendiri, perut sendiri, dan jika berada di tahap kebulur, mereka akan mengotorkan negara dengan korupsi dan penyalahgunaan kuasa, tersembunyi malah terbuka!
Itu semua justifikasi mereka yang berfikir. Tetapi bagaimana dengan majoriti rakyat (baca sebagai pengundi). Apakah mereka rasional dalam pemerhatian?
PENGALAMAN TURKI
Sambil menunggu giliran untuk ke udara, saya terus cuba membuat analisa dan salah satu kaedah yang sering melintasi fikiran saya adalah pengalaman gerakan Islam lain.
Misalnya Refah di Turki.
Di kemuncak kejayaan Parti Refah pada separuh kedua era 90′an, mereka telah sampai ke suatu tahap di mana pihak sekularis fundamentalis telah secara Lose-Lose, mengharamkan Refah serta menangkap pemimpin-pemimpin utamanya. Walaupun Refah hanya sempat memerintah kurang sepenggal, mereka telah sangat berjaya memperbaiki negara Turki dari pelbagai aspek ekonomi, politik dan sosial. Tetapi tentera dan gerakan sekularis tidak langsung peduli kepada semua itu. Apa yang mereka mahukan ialah, golongan Islamis harus disingkirkan, biar pun ia membinasakan negara.
Mereka adalah pelampau sebenar.
Dan memang tindakan mereka membinasakan negara.
Tetapi sikap tentera dan golongan sekularis pelampau itu tidak mengejutkan. Semua orang sudah sedia maklum, bagaimanakah sikap mereka di sepanjang sejarah Republik Turki.
Tetapi apa yang menjadi persoalan kepada rakyat Turki ialah sikap menyerang Refah dan ucapan-ucapan provokasi pemimpin seperti Erbakan. Rata-rata rakyat Turki pada akhir-akhir 90′an telah menunding jari menyalahkan gerakan Islam atas musibah yang menimpa SELURUH rakyat. Inflasi telah mengheret keseluruhan struktur masyarakat ke dalam lubang gelap. Pengangguran, kejatuhan mata wang yang melampau, dan kehuru-haraan politik di Turki telah memberikan tekanan yang maha hebat kepada keseluruhan rakyat, penyokong Refah dan penentang Refah.
Keseluruhan rakyat meletakkan kesalahan ke atas Refah. Mereka tidak menafikan kebodohan golongan sekularis fundamentalis. Tetapi mereka kecewa dengan Refah yang turut melakukan tindakan yang sama dianggap ‘bodoh’ kerana mencurahkan minyak ke atas api. Kerana terlalu mahukan apa yang mereka mahukan, tentera bangkit dan memusnahkan segala-galanya.
Pendekatan yang penuh unsur konfrontasi telah meruntuhkan Turki dan kesannya dirasai oleh seluruh lapisan rakyat. Ini adalah titik penting yang menjadi semakan Fazilet, dan akhirnya membawa kepada perpecahan Saadet dan AKP.
Inilah yang saya fikirkan. Dalam usaha pembangkang mahu menyedarkan rakyat tentang kepincangan kerajaan yang ada, apakah pembangkang juga efektif dalam menguruskan kesan-kesan sampingannya yang serius? Bersediakah PAS, PKR dan barisan pembangkang yang lain untuk dipersalahkan oleh orang ramai atas hilangnya keselesaan hidup mereka.
Tidak semua rakyat yang idealis bahkan majoriti pengundi masih berpemikiran “apa yang aku dapat” berbanding dengan segelintir pejuang yang hidupnya ialah “apa peranan yang aku boleh sumbangkan”. Patriotisma yang popular masih versi mengibarkan Jalur Gemilang dan bukannya berusaha menyelamatkan negara dari penyelewengan dan rasuah.
Namun, kegusaran saya ialah pada keupayaan pejuang menangani reaksi golongan ini yang majoriti. Ketika masyarakat duduk dalam ketidak selesaan dan tekanan, mereka tidak bersedia untuk mendengar apa-apa alasan sekali pun. Apa yang mereka fikirkan hanyalah kepentingan peribadi yang terjejas. Sesuai dengan mentaliti selfishness yang amat kuat di kalangan rakyat itu sendiri.
Sebelum BERSIH sempat menerangkan apa rasionalnya perhimpunan kedua mereka ini, cakap-cakap yang menyalahkan BERSIH sebagai punca segala masalah terus merebak. Tiada siapa yang berminat untuk mempersoalkan tindakan polis membuat sekatan jalan di laluan utama Kuala Lumpur kerana rata-rata sudah maklum dengan trend sebegitu. Apa yang menjadi persoalannya ialah, jika sudah tahu polis bertindak demikian, mengapa masih memilih jalan konfrontasi jalanan?
OPTIMUM
Saya timbulkan persoalan ini, kerana apa yang saya fikirkan adalah tentang ITQAN, melakukan sesuatu dengan optimum. Itu prinsip Islam yang penting.
Lihat sahaja cara Nabi SAW mengajar kepada kita dalam perbuatan menyembelih haiwan. Sunnahnya bukan hanya pada Basmalah, tetapi juga pada menggunakan pisau yang tajam. Memang tidak dinafikan, penggunaan pisau yang tajam adalah lebih ‘rahmah’ kepada haiwan yang disembelih. Tetapi maksud Syariat yang lebih utama adalah pada mendatangkan manfaat untuk manusia. Pisau yang tajam akan memberikan manusia tiga unsur penting dalam amalan dan pekerjaan mereka iaitu:
- efektif
- efisyen
- etika
Dengan usaha yang minima dan menjimatkan, kita mendapat hasil yang maksima. Dan untuk memenuhi kriteria ini, kita berbalik kepada hidup ini yang dijadikan oleh Allah sebagai ujian, untuk melihat siapakah di kalangan kita yang terbaik pekerjaannya. Sentiasa mencari cara terbaik, adalah perjuangan hidup yang asasi.
Dialah yang telah menjadikan mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat [Al-Mulk : 2]
HUDAIBIYAH MASIH RELEVAN
Sekali lagi saya memetik peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah. Antara isi penting peristiwa itu ialah usaha Nabi SAW untuk mencapai apa yang paling diperlukan oleh dakwah, iaitu masyarakat yang tenteram dan aman dari peperangan. Baginda SAW sanggup kehilangan beberapa sub-maslahah demi maslahah terbesar ini. Hasil Perjanjian Hudaibiyyah kesemua pihak bersetuju untuk mengenakan gencatan senjata dan menghentikan peperangan.
Inilah peluang yang dinantikan oleh Rasulullah SAW.
Semasa keamanan berlangsung, Baginda SAW menggunakan segala peluang yang ada untuk berdakwah, melakukan out-reach kepada kabilah-kabilah Arab seluasnya, malah kepada ketua-ketua empayar di sekitar Semenanjung Tanah Arab.
Soalnya sudahkah kita manfaatkan semua peluang aman, sebelum memilih jalan konfrontasi?
ANTARA KEINGINAN SYAHID DAN KEINGINAN MEMENANGKAN ISLAM
Kadang-kadang saya terfikir, antara pengebom berani mati dengan pejuang berani hidup, manakah yang lebih utama? Lupakan kepada mereka yang berkepentingan peribadi atau takut dengan risiko. Pejuang berani hidup yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang tidak berputus asa berjuang di dalam ruang-ruang yang masih berbaki, dan tidak mengambil jalan pintas dengan memanggil mati.
Antara berusaha untuk menyelamatkan kehidupan dengan memilih jalan kematian, biar pun namanya syahid, manakah yang lebih sukar, dan manakah yang lebih dekat dengan apa yang Islam mahukan? Atau dalam istilah yang lebih mudah, antara menyerahkan diri untuk syahid dengan berjuang untuk memenangkan Islam, manakah yang patut dianggap sebagai kepahlawanan Islam?
Saya timbulkan perkara ini kerana kembali memikirkan, apakah berbaloi segala kesusahan sama ada di pihak pembangkang yang berdepan dengan penangkapan dan segala tindakan keras pihak berkuasa, dan kesulitan hidup orang ramai atas tindakan Barisan Alternatif membawa sokongan ke jalanan?
Sekali sekala, sebagaimana BERSIH pada 10 November, ia merupakan suatu tindakan yang ada justifikasi. Tetapi untuk mengulanginya dalam jarak masa yang dekat, diselangi oleh oleh demonstrasi HINDRAF dan Hari Hak Asasi Manusia, sayaberpandangan, kepimpinan pembangkang harus menerima hakikat bahawa ia sulit untuk ditelan oleh masyarakat seperti masyarakat kita.
Sebelum kita menganggap penangkapan, kecederaan dan seksaan itu sebagai sebahagian daripada Sunnah Orang Berjuang, apakah kita sudah memaksimumkan saluran lain yang ada? Memang media perdana menyampaikan maklumat secara satu hala dan senada sebahasa, tetapi bagaimana dengan saluran lain? Sudahkah medium internet digunakan sebaik-baiknya untuk memberikan penjelasan dan mengubah apa yang patut diubah dari segi pemikiran masyarakat?
Apakah ceramah-ceramah umum pernah disemak output daripadanya? Berapakah belanja yang dikeluarkan pada satu malam oleh pembangkang di seluruh negara, dan sesuaikah belanja itu dengan hasil pulangannya? Sama ada hasil pulangan dalam bentuk modal, atau pun hasil pulangan dari segi keberkesanan ceramah dalam mencorakkan pemikiran masyarakat?
Apakah wasilah yang ada hanya ceramah? Tiadakah kaedah lain, khususnya untuk menghubungi muka-muka baru yang tidak pernah muncul di padang ceramah di mana-mana?
Sudahkah digunakan semua peluang yang ada, sebelum kita meratapi peluang yang tiada?
Soalan-soalan saya ini bukan soalan yang menuduh pembangkang tidak berusaha, tetapi ia adalah soalan untuk mengembalikan keseluruhan perjuangan Islam kepada tuntutan ITQAN yang telah saya sebutkan tadi.
HARGA KONFRONTASI
Harga bagi sebuah konfrontasi itu sangat besar. Penangkapan pemimpin pembangkang boleh berlanjutan kepada cabang-cabang masalah yang lebih rumit. Jika Ustaz Abu Bakar Chik pernah bertanding pilihanraya ketika berada di dalam tahanan suatu ketika dahulu, pembangkang tentu tidak mahu membayangkan jumlah calon yang bertanding dari balik tembok batu itu merebak besar lebih dari satu.
Kembali kepada soalan asal, berbaloikah semua ini?
Sekali lagi saya cuba memetik pengalaman Refah di Turki.
Ya, memang di satu tahap, Refah dipersalahkan oleh rakyat atas segala kesulitan yang mereka tanggung. Di dalam suasana itu Refah diharamkan dan pemimpin-pemimpinnya dikenakan tindakan. Fazilet cuba bangkit semula dengan pendekatan baru, namun usianya juga cukup pendek.
Tetapi, walaupun pendekatan konfrontasi Refah di Turki telah banyak menyusahkan seluruh rakyat (pada persepsi masyarakat), mereka berjaya mengatasi perasaan dan tuduhan itu kerana kualiti yang ada pada calon-calon gerakan Islam itu. Mereka bergerak ke arah menepis penguasaan DSP, CHP dan Bulent Ecevit dengan suatu kualiti yang meyakinkan rakyat.
Tanyalah siapa sahaja di Turki, kewibawaan AKP yang merangkak dari pembangkang kepada pemenang terbesar pilihanraya 2007 adalah kerana kualiti yang berjaya mereka buktikan. Di mana sahaja AKP menang, penduduk dapat melihat kesan perubahan kepada kehidupan mereka. Ia dapat melupakan keperitan yang ditanggung semasa penggulingan kuasa oleh tentera di tahun-tahun akhir Refah memerintah.
Soalnya, jika proses mengubah tampuk kepimpinan di negara kita dilakukan dengan konfrontasi yang sama, apakah tawaran pembangkang sebagai Barisan Alternatif itu cukup berkualiti dan berharga? Saya yakin, soal kepincangan dalam pemerintahan yang ada sudah menjadi public secret tetapi kewibawaan penggantinyalah yang masih menjadi tajuk utama.
PANDANGAN TIDAK POPULAR
Pandangan saya ini bukanlah suatu kemuktamadan kerana ia hanya pemerhatian seorang rakyat biasa. Seorang yang membuka sebelah telinga untuk mendengar dan memahami pandangan kanan, dan membuka sebelah lagi telinga untuk cuba memahami pandangan kiri. Pandangan ini juga mungkin tidak digemari oleh kedua-dua belah pihak yang bertembung.
Tetapi demi semangat Islam yang mengajar kita ITQAN, atau dalam bahasa tenteranya disebut sebagai satu peluru satu musuh, apakah segala kesusahan yang ditumpahkan, menepati sasaran yang diharapkan?
Semoga Allah melorongkan kita kepada menemui jalan-jalan terbaik sebagai reaksi kita terhadap hakikat kehidupan yang dijadikan Allah sebagai ujian, ke arah mencari formula “ayyukum ahsanu ‘amala“.
Saya menyanjung pejuang berani hidup, lebih dari sanjungan kepada pejuang berani mati.Dipetik dari Saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment